Sunday, July 4, 2021

Bercuti Di Tasik Kebun Serendah, Rawang Selangor

 


Team retreat di Tasik Kebun Serendah. Awesome place! Siapa sangka berdekatan dengan Kuala Lumpur ada kawasan dan tempat percutian yang tersembunyi ni. 

Lokasi yang terletak tidak jauh daripada ibu kota. Kalau dahulunya Serendah mungkin kedengaran agak jauh. Namun dengan adanya jambatan tertinggi di Malaysia yang melintasi kawasan Rawang, jaraknya telah menjadi lebih dekat. 

Perjalanan dari Shah Alam ke Serendah tidak mengambil masa yang lama apabila melalui lebuhraya Guthrie dan seterusnya melencong masuk ke LATAR sebelum mengikuti laluan jambatan yang melintasi Rawang itu. Mencari Tasik Kebun Serendah tidaklah sukar walaupun tanpa aplikasi Waze kerana sebaik sahaja melintasi pekan kecil Serendah terpampang tanda arah Tasik Kebun Serendah. 

Jadinya mudah sahaja untuk mencari lokasi eco-resort ini. Sebuah resort yang sesuai untuk sesiapa yang ingin lari dari hirup pikuk kota dan mencari ketenangan dalam radius yang berdekatan. Tidak perlu memandu jauh dan hanya terletak tidak jauh dari pinggir kota sahaja. 

Sayang sekali saya tidak membawa laptop (Nama pun retreat..takkan asyik nak berteman dengan laptop kan?). Saya kira dalam keadaan cuaca redup yang diselangi dengan hujan renyai sambil ditemani secangkir kopi pasti idea-idea penulisan dengan selesanya akan terbit. Mungkin di lain waktu. 

Tetapi yang pasti Tasik Kebun Serendah tidak serik untuk saya kunjungi lagi. Tempat untuk bercuti atau pun retreat di Selangor bersama dengan ahli keluarga, kawan-kawan atau pun rakan-rakan sekerja.

No comments:

Post a Comment

ShareThis